Oleh: Nir Mala Riduan

“Bahasa Jiwa Bangsa”.  Kita sering mendengar ungkapan ini disebut-sebut bagi menunjukkan betapa kita menyanjung dan memartabatkan bahasa Melayu. Namun adakah kita sedar saban hari kita membaca dan melihat pelbagai kesalahan bahasa pada papan-papan tanda hingga mencemar fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Di manakah jiwa kita sebagai sebuah rakyat Malaysia yang mempelajari bahasa Melayu sejak kecil lagi apabila melihat papan-papan tanda seperti ini?
 

(Sumber)

KENAPA GAGAL?

Isu kegagalan menggunakan ejaan, bahasa dan istilah yang betul pada papan-papan tanda di seluruh negara bukanlah suatu yang baru. Isu ini sering dibahaskan bukan sahaja di peringkat akademik malah banyak paparan akhbar yang menegur kebejatan penggunaan bahasa kebangsaan ini. Mengapakah tiada perubahan? Adakah masyarakat kita sudah tepu dengan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan?
 

PERANAN ORGANISASI KERAJAAN

  Sesuatu yang memalukan setelah lebih 60 tahun merdeka, rakyat yang mengaku sebagai bangsa Malaysia masih lagi gagal menggunakan bahasa kebangsaan yang juga bahasa rasmi dengan betul dan tepat. Sedangkan pelbagai medium telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk rakyatnya menguasai bahasa kebangsaan ini. Bermula dari sekolah, setiap rakyat di negara ini mendapat pendedahan yang sama untuk menguasai bahasa kebangsaan. Bukan itu sahaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 memainkan peranan untuk menggerakkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Oleh itu, orang ramai amat dialu-alukan untuk mendapatkan rujukan yang tepat dengan melayari laman sesawang DBP yang menyediakan pelbagai khidmat nasihat yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu yang tepat.

PERANAN ORGANISASI SWASTA

  Bukan itu sahaja, lahirnya organisasi swasta seperti Learning Port Sdn Bhd juga mengambil peranan untuk memperkenalkan pelbagai modul interaktif yang dapat membantu memartabatkan bahasa Melayu. Modul-modul yang disediakan bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda, malah boleh dijadikan sumber rujukan untuk memantapkan penguasaan bahasa.
 
 
Sudah terang lagi bersuluh, tugas untuk memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tugas semua rakyat Malaysia. Kesalahan ejaan, penggunaan bahasa dan istilah pada papan-papan tanda usahlah dipandang ringan. Usaha memantau dan menegur kesalahan ini harus terus diperjuangkan bagi memastikan bahasa Melayu tidak dianaktirikan di negaranya sendiri. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.