Oleh: Laila Zainal

SME, Bahasa Melayu

Kesantunan bahasa merujuk kepada kesopanan dan kehalusan ketika berkomunikasi, tidak kiralah komunikasi secara lisan atau tulisan. Kesantunan ini juga telah lama dipasakkan dalam diri setiap individu bagi melambangkan jati diri bangsa dan keutuhan budaya. Terdapat pelbagai pendapat tokoh berkaitan kesantunan ini antaranya Hamka (2002) yang menyatakan kesantunan itu merujuk kepada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Namun persoalannya, adakah kesantunan bahasa telah dipupuk elok dalam peribadi kalangan remaja kita pada hari ini?
(Imej daripada modul Bahasa Melayu_Tingkatan 5: Kesantunan Berbahasa)

Jika mahu dibicarakan kes kebejatan kesantunan ini, suspek utama yang akan dipersalahkan sudah pastinya guru di sekolah atau ibu bapa yang memegang mohor suri teladan. Sesi tuding-menuding pasti terjadi apatah lagi aspek kesantunan ini turut dibinasakan dalam penulisan karangan di sekolah.
(Imej daripada modul Bahasa Melayu_Tingkatan 5: Kesantunan Berbahasa)

Jadi, hujah suspek juga mudah, salahkan sahaja ‘kebiasaan’ dan ‘pergaulan’ remaja itu sendiri, salahkan juga media massa atau kecanggihan teknologi. Usai sesi tuding-menuding nanti, asak pula pihak bertanggungjawab agar lekas melaksanakan sesuatu bagi mengembalikan jati diri anak bangsa. Dengan pantasnya pelbagai slogan diangkat untuk disemat dalam jiwa remaja seperti ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’. Senario ini biasa didendangkan tetapi keberkesanan tindakan tersebut jarang-jarang pula dibincangkan. Melihat pada senario keperibadian remaja pada hari ini, adakah kita perlu terus berdendang dan menunggu kesannya 10 tahun lagi?

Sudah tentu jawapannya ‘tidak’ bagi Learning Port. Amanah yang dipikul bukan sekadar mahu pelajarnya lulus dalam peperiksaan tetapi turut memikul tanggungjawab sosial dalam membentuk jati diri anak bangsa. Memandangkan kita akur dengan kebiasaan komunikasi harian menjadi punca, Learning Port Interactive telah mengambil inisiatif menyedarkan remaja tentang kesantunan dalam perbualan harian dalam modul Bahasa Melayu yang dibina. Tidak mahu sekadar digelar pelopor pujangga, Learning Port Interactive dengan besar hati menyarankan ibu bapa untuk mencuba modul pembelajaran ini kepada anak-anak mereka. Lenturlah buluh dari rebungnya dan moga tindakan kita pada hari ini melengkapkan diri menjadi contoh suri teladan yang terbaik dalam membentuk generasi unggul pada masa akan datang.
(Imej daripada modul Bahasa Melayu_Tingkatan 5: Kesantunan Berbahasa)